Innovative PPC platform.
undefined
undefined

Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujudku

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"
Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."
Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.
Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"
Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."
Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"
Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.
Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"
Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."
Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.
Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.
Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...
Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.
Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?



undefined
undefined

Tazkirah : Keunggulan Rasulullah diintai Orientalis

Label: , ,

NABI Muhammad SAW diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman. Baginda memimpin melalui risalah tauhid yang diwahyukan oleh Maha Pencipta. Apa yang dibawakan Nabi Muhammad bukan berbentuk ideologi atau falsafah seperti diamalkan penganut agama lain.

Nabi Muhammad diutuskan bertujuan menyelamatkan manusia daripada jatuh ke jurang kecelakaan dan kemusnahan. Manusia yang hidup tanpa risalah tauhid menjalani kehidupan seumpama masyarakat haiwan yang mementingkan kepuasan nafsu semata-mata.

Kelahiran Nabi Muhammad dinanti-nantikan oleh ahli kitab dari kalangan penganut agama Yahudi dan Kristian, dua agama yang asalnya disebut agama langit. Dalam kitab Injil dan Taurat disebut mengenai kelahiran nabi akhir zaman yang akan membawa rahmat ke seluruh alam.

Ahli kitab kedua-dua agama itu percaya akan lahir seorang nabi yang akan menyatukan seluruh umat Islam dalam satu pegangan tauhid yang sama sehingga ke hari kiamat. Mereka bersedia untuk menjadi pengikut nabi yang bakal lahir itu sebagai kesinambungan kepercayaan yang diyakini sebelum itu.

Namun, disebabkan Nabi Muhammad bukan di kalangan keturunan Yahudi maupun Nasrani, banyak di kalangan ahli kitab itu mengetepikan kepercayaan mereka yang dipegang sekian lama.

Satu keistimewaan paling kerap diperkatakan mengenai Nabi Muhammad ialah berkaitan ciri kepemimpinannya. Semua pihak mengakui ketokohan kepemimpinan Nabi Muhammad yang tidak ada tolok bandingan. Kepemimpinan Nabi Muhammad yang terbilang tidak mungkin ditandingi individu di dunia ini, sebelum dan selepas baginda.

Paling mengagumkan, kepimpinan Nabi Muhammad terbaik dalam semua bidang. Tidak ada pemimpin lain yang dapat melakukan tanggungjawab secara serentak dalam pelbagai tugas dengan begitu sempurna.

Nabi Muhammad menjadi ketua agama, ketua negara, ketua hakim, panglima perang, perancang ekonomi, ketua pendidik, diplomat terkemuka dan suami serta bapa mithali. Pendeknya, kemampuan Baginda menepati gelaran ‘pemimpin agung’ sepanjang zaman seperti diakui semua pihak.

Justeru, Nabi Muhammad adalah ‘role model’ contoh ikutan terbaik. Sebagai penganut agama Islam, sesiapa yang mengikuti apa dilakukan Nabi Muhammad adalah dianggap melakukan sebahagian daripada sunnah.

Kekuatan dan kejayaan kepemimpinan Nabi Muhammad bukan diukur pada banyaknya jawatan dipegang. Apa yang dinilai sebenarnya ialah berdasarkan kejayaan dicapai secara fizikal mau pun spritual. Setiap kejayaan itu melalui tahap tertentu yang melambangkan sunnatullah, dan bukannya dicapai secara luar biasa.

Dengan kata lain, apa yang dilakukan dan dicapai oleh Rasulullah boleh dijadikan ikutan. Nabi Muhammad juga manusia biasa dan mengalami keadaan sama seperti orang lain.

Sebagai manusia biasa Nabi Muhammad juga turut berasa kelaparan jika tidak makan, mengalami sakit jika bahagian badan terluka dan turut berasa kepenatan. Baginda juga memerlukan kepada apa yang diperlukan oleh orang biasa. Baginda juga berdepan dengan kegagalan dan kesukaran.

Allah mengutuskan nabi di kalangan orang biasa agar mampu dijadikan contoh. Sekiranya nabi adalah kalangan manusia yang dikurniakan 'super power' atau kuasa istimewa, sudah tentu manusia biasa tidak mampu untuk mengikuti apa yang dilakukan.

Kejayaan Rasulullah memimpin manusia dari zaman kegelapan kepada zaman kecemerlangan, sikap perpecahan kepada perpaduan, miskin jiwa menjadi kaya jiwa dan percaya kepada kebatilan bertukar mengakui keesaan Allah, terus diperkatakan sepanjang zaman.

Sirah Rasulullah sentiasa dijadikan bahan kajian untuk mendapat manfaat daripadanya. Kajian itu turut dilakukan ahli falsafah, ilmuan dan pemikir bukan Islam. Mereka membaca, mengkaji dan membuat rumusan mengenai sirah Rasulullah secara berulang. Semakin banyak yang dikaji, semakin menambahkan lagi rasa kagum terhadap kemampuan Rasulullah.

Namun, sebilangan orientalis yang terang memusuhi Islam membuat rumusan sebaliknya, dengan harapan mencemarkan kedudukan Nabi Muhammad. Sebab itu, kadang-kala kedengaran tuduhan buruk dilemparkan kepada Rasulullah.

Niat buruk itu tidak langsung mencemarkan keunggulan Nabi Muhammad dan Islam yang dibawa oleh Baginda. Bahkan, cerita buruk ini mendorong lebih banyak yang ingin mendapat maklumat sebenar mengenai Nabi Muhammad.

Sumber: Berita Harian 23.1.2007