Innovative PPC platform.

TAULADAN MELALUI KEPIMPINAN


Cuaca di luar sungguh panas terik. Ketika itu Sayidina Usman bin Affan sedang berehat di rumahnya. Dari tingkap rumahnya dia melihat seorang lelaki yang sudah berumur berjalan terhoyong hayang menutupi mukanya dari kepanasan dan debu. Sayidina Usman kehairanan. Siapakah lelaki yang sanggup berjalan di tengah panas itu sedangkan orang lain semuanya berteduh. Pasti dia sedang dalam kesusahan.

Kemudian, lelaki itu kelihatan memegang seekor sapi pada tali kekangnya. Sayidina Usman memanggil lelaki yang tidak dikenali itu supaya berlindung di rumahnya dari panas yang membara.

Setelah lelaki itu tiba di halaman rumahnya, Sayidina Usman terperanjat kerana rupa-rupanya dia adalah Amirul Mukminin, Khalifah Umar Al-Khattab. Sayidina Usman segera keluar dari rumahnya dan bertanya, "Engkau dari mana wahai Amirul Mukminin?"

Sayidina Umar menjawab, "Sebagaimana yang engkau lihat aku sedang mengheret sapi ini."

"Siapakah pemiliknya?" tanya Sayidina Usman dengan hairan. Sebab biasanya Sayidina Umar tidak begitu merisaukan harta bendanya.

"Ini adalah kepunyaan anak-anak yatim yang telah terlepas dari kandangnya dan berlari di jalan. Aku telah mengejarnya sehinggalah sekarang telah pun tertangkap."

Sayidina Usman bertanya lagi, "Tidak adalah orang lain yang boleh melakukan pekerjaan itu tanpa engkau sendiri sebagai seorang khalifah?"

Sayidina Umar menjawab dengan tegas, "Siapakah yang bersedia menebus dosaku di hari perhitungan nanti? Mahukah orang itu memikul tanggungjawabku di hadapan Tuhan? Kekuasaan adalah amanah bukan kehormatan."

Sayidina Usman mencadangkan supaya khalifah berhenti berehat sebentar sementara menunggu cuaca agak redup. Namun Sayidina berkata, "Kembalilah ke rumahmu, biarlah aku selesaikan kewajipanku."

Maka Khalifah Umar Al-Khattan pun meneruskan perjalannya. Sayidina Usman hanya melihatnya pergi dengan air mata membasahi pipi. "Engkau merupakan cermin sebagaimana seharusnya menjadi kewajipan seorang pemimpin negara dan merasa berat dirasakan oleh khalifah selepasmu."

Pemimpin yang beriman merasa bimbang dengan jawatan yang disandangnya kerana tanggungjawabnya sungguh berat. Berbeza dengan manusia kini yang berlumba-lumba inginkan jawatan supaya dapat menggunakan kuasa dan wang yang ada padanya.

--dipetik dari buku "87 Kisah-Kisah Teladan karangan Ummu Juwairiah"





0 ulasan:

Catat Ulasan